Kawalan perosak Ciku

Antara serangga perosak tanaman ciku adalah ulat pengorek buah (Nephopterix piratis) yang mana kupu-kupu dewasa bertelur pada permukaan buah ciku yang membesar dan larvanya masuk kedalam buah yang mengakibatkan buah akan rosak dan gugur. Kawalan dengan mengutip buah yang rosak dan masukkan ke dalam plastik diikat selama 10 hari sehingga kitaran hidupnya tamat. Lalat buah (Bactocera spp) pula menyerang buah ciku yang hampir masak dengan lalat betina menyucuk permukaan buah untuk bertelur. Larva yang menetas 2-3 hari kemudan merosakan isi buah dan berair. Kawalan dengan memasang perangkap dengan feromon metil eugenol dan mengutip buah rosak dan musnahkannya. Ulat pelipat daun (Banisia myrusalis) menyerang bahagian pucuk daun iaitu kupu-kupu dewasa betina bertelur di kawasan pucuk dan larvanya merosakkan pucuk dengan memakan epidermis daun dan kawalan hanyalah dengan mengutip larva dan musnahkannya. Ulat pelombong daun (Acrocercops spp) pula menebuk lubang terowong di bahagian bawah epidermis daun dan menyebabkan daun menjadi kering dan gugur kemudiannya. Kawalan menggunakan pelekat kuning atau pelakat biru bagi menarik serangga perosak. Koya (Phaenococcus spp) merupakan serangga yang menghisap air masisan sap di bahagian pucuk dan daun. Ia akan menyebabkan serangan kulat kulapuk berdebu dan jelaga hitam. Ia boleh dikawal dengan menggunakan bahan 'minyak putih' pada 0.1% ai.

Antara masalah perosak untuk tanaman ciku C19 pula seperti lalat buah dan ulat pelipat daun (Banisia myrsusalis) dan buah gugur. Kawalan perosak lalat buah dengan umpan protin atau semburan racun Dimethoate atau Fention dengan kadar disyorkan. Pastikan tidak memetik hasil sebelim PHI tamat. Ulat pelipat daun boleh dikawal dengan semburan racun acephate setiap kali pucuk baru keluar. Kempen lebih giat untuk penanaman ciku C19 perlu dibuat lagi.

Penyakit

Terdapat 3 jenis penyakit yang menyerang tanaman ciku. Penyakit pertama adalah penyakit cendawan angin (Corticum salmonicolor) yang menyerang bahagian batang, ranting dan dahan. Terdapat miselium berwarna merah jambu pada bahagian celah-celah kulit batang diserang dan keadaan teruk meliputi sekeliling batang. Bahagian diserang akan menjadi kering dan akan mati. Kawalan dengan mencantas bahagian diserang dan musnahkannya serta menggunakan bahan kimia copper-oxychloride yang disapu pada bahagian serangan. Penyakit jelaga hitam (disebabkan oleh kulat Atalorderma satosum, kulat Microxipium spp dan kulat Nitrochambe nitrese) menyerang permukaan daun, ranting, dahan dan batang akibat cairan manis oleh patogen lain seperti koya dan teritip. Kawalan dengan musnahkan serangga teritip dan koya dengan semburan racun kimia. Penyakit puru (Agrobacterium spp) menyerang bahagian pucuk dan dahan yang kelihatan seperti membengkak seakan berpuru. Kawalan dengan mencantas bahagian yang diserang dan musnahkannya.

Penuaian

Penuaian buah ciku ada 5 tahap masak yang boleh dijadikan garis panduan. Indeks 1 adalah di mana buah ciku masih hijau dan tidak akan masak sebaliknya kecut jika dituai. Indeks 2 di mana buah ciku berwarna hijau kekuningan dan akan masak dalam masa 8-10 hari jika diperam selepas tuai. Indeks 3 dimana buah ciku berwarna coklat dan akan masak dalam masa 6-8 hari. Indeks 4 buah ciku berwarna coklat kekuningan dan masak dalam masa 5-7 hari. Indeks 5 adalah paling masak di mana kulit ciku berwarna kuning kecoklatan dan masak dalam masa 0-3 hari sahaja iaitu tak sesuai untuk pasaran komersial. Cara memetik buah ciku sebaiknya dengan tangan dan memanjat pokok atau menggunakan tangga. Ada yang menggunakan galah yang ada sarung jaring supaya buah melorot ke dalam bekas. Ini bagi mengelakkan buah cedera jatuh ke atas tanah. Ada juga menggunakan buluh yang ada kon terbuka disalut kain agar buah tidak cedera.

Buah ciku lazimnya tahan selama 7-8 hari yang dipetik pada indeks 2-4 pada keadaan suhu biasa. Bagaimana pun ketahanan penyimpanan buah ciku boleh dipanjangkan lagi dengan memasukkannya dalam stor penyimpanan bersuhu dingin sekitar 13-15 darjah selsius. Didapati ciku Subang tahan sehingga 1-2 minggu dan ciku Jantung sehingga 2-3 minggu melalui penyimpanan dalam stor simpanan sejuk. Kajian menunjukkan belum ada teknologi yang mampu menyimpan buah ciku melebihi 3 minggu berbanding dengan penyimpanan buah kiwi yang berbulan-bulan lamanya boleh disimpan. Dari segi gred pula buah yang beratnya lebih 100 gram sebiji adalah Gred A sementara buah ciku yang beratnya kurang dari 100 gram sebiji jatuh Gred B. Teknologi mempercepatkan buah ciku masak yang lazim digunakan di Malaysia menggunakan bahan kalsium karbid dengan kadar 20 gram setiap 1 kg buah. Caranya adalah dengan memasukkan buah dalam guni bersama kalsium karbid selama 24 jam dan buah dikeluarkan kemudiannya. Buah akan masak 2-3 hari selepas itu.

Rujukan

WikiPedia: Ciku http://www.ars-grin.gov/cgi-bin/npgs/html/taxon.pl... http://agrolink.moa.my/doa/bdc/fruits/ciku/ciku.ht... http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s2_99/a72786... http://www.worldagroforestrycentre.org/sea/Product... https://books.google.com.my/books?id=_a9EAAAAQBAJ&... https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sauh https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sawo https://archive.org/details/aeg2034.0001.001.umich... https://www.proseanet.org/prosea/e-prosea_detail.p... https://commons.wikimedia.org/wiki/Category:Manilk...